Wednesday, April 21, 2010
Kursus Pemantapan Organisasi MPPUKM 09/10
Bangi – 28 Mac 2010. Kursus Pemantapan Organisasi (KPO) bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM sesi 2009/2010 telah diadakan di Hotel Sri Malaysia, PD. KPO telah diadakan selama 3 hari 2 malam iaitu dari 26 Mac 2010 hingga 28 Mac 2010.
Kursus ini dihadiri oleh 28 orang MPP. Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Y. Berbahagia Prof. Madya Dr. Kadderi Md. Desa. Antara pengisian kursus ini adalah cara pengurusan organisasi dan kewangan PMUKM dengan baik. Pada hari terakhir kursus ini, barisan MPP telah membentangkan perancangan program yang akan dijalankan sepanjang kami bergelar MPP.
Terima kasih diucapkan kepada pihak PPP terutamanya kepada Pn. Rosma Ayu kerana telah bertungkus lumus mengelolakan program ini untuk kami. Diharapkan barisan MPP kali ini dapat menjadi lebih mantap dari yang sebelumnya. Semoga jalinan kerjasama antara MPP yang telah terjalin sepanjang kursus ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan warga UKM khasnya.
Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra
Bangi, 19 Mac 2010 - Seramai 48 orang pelajar perempuan telah menyertai Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam bersama-sama badan NGO dan Professional Muda di PWTC.
Majlis bermula pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 11.30 malam. Majlis ini telah disempurnakan oleh Dato’ Hishamuddin Tun Hussin. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk bertukar-tukar pandangan antara badan-badan NGO dan professional muda. Majlis ini adalah julung-julung kali diadakan.
Terima kasih diucapkan kepada para pelajar yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis ini. Diharap para pelajar yang hadir dapat menimba serba sikit ilmu dari badan-badan NGO yang hadir pada malam tersebut. Segala kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung diharap dapat diperbaiki pada masa akan datang. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang kurang itu dari kelemahan kami sendiri…
Sunday, April 18, 2010
Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa
Pidato merupakan satu platform kepada setiap individu untuk menambahkan keyakinan diri, menyampaikan idea-idea yang bernas, petah berkata-kata dan hujah-hujah yang mantap.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi bertempat di Hotel Grand Season. MPP (UKM,UM,UPNM, UIA & UPM) telah menghadiri majlis perasmian ini. Majlis dimulakan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar kebudayaan MAKUM seterusnya ucapan perasmian oleh Dato' Saifuddin.
Pertandingan pidato antarabangsa pada tahun ini terdiri dari 56 buah negara serata dunia. Pertandingan seperti ini dilihat dapat memartabatkan lagi bahasa kebangsaan negara kita iaitu Bahasa Melayu. PABM akan berlangsung pada 2-5 Mac 2010 di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Seharusnya kita sebagai warga Malaysia berbangga apabila bahasa Melayu dimartabatkan di mata dunia. Kekaguman timbul dalam diri kami apabila melihat peserta berbangsa asing fasih berbahasa Melayu. Pertandingan seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang.
Sambutan Maulidur Rasul
Tanggal 12 Rabiuawal merupakan detik bersejarah bagi umat Islam dimana menjadi saksi turunnya rahmat Allah kepada seluruh makhluk di muka bumi ini dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Bagi melahirkan rasa kesyukuran ini, umat Islam telah menjadikan tarikh tersebut sebagai hari yang penuh bermakna. Pelbagai program telah dirancang untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah dan kecintaan terhadap Rasulullah baik diperingkat sekolah, IPT, mahupun negara sendiri.
UKM dengan kerjasama pelbagai jabatan, pusat dan fakulti telah menjadikan majlis sambutan Maulidur Rasul sebagai aktiviti tahunan di bawah Pusat Islam UKM. Tujuannya adalah bagi mezahirkan ingatan warga UKM kepada Nabi Muhammad SAW. baginda memiliki peribadi contoh kejayaan dan kecemerlangan yang perlu difahami, diteladani dan dihayati oleh seluruh umat Islam amnya.
Pada hari Isnin (1 Mac 2010) - 1431H, UKM telah mengadakan majlis sambutan maulidur Rasul. Majlis dimulakan dengan perarakan oleh pentadbiran,kakitangan serta pelajar pada pukul 8 pagi. Perarakan bermula di masjid UKM dan berakhir di DECTAR. Sebanyak 40 pasukan telah menyertai perarakan ini. Tan Sri Prof Dato Dr Sharifah Hapsah (NC UKM) serta para TNC juga tidak ketinggalan dalam menyertai perarakan. Majlis dimurnikan dengan bacaan ayat suci al-quran, berzanji dan selawat beramai-ramai. Forum perdana pada tahun ini mengupas isu Rasulullah Inspirasi Perpaduan Ummah. Antara ahli panel adalah Ust Zahazan Mohamed (Pengarah Eksekutif TBSB) dan PM Dr. Harlina Halizah (Pensyarah UKM).
Program seumpama ini dilihat dapat merapatkan hubungan antara pentadbiran universiti serta para pelajar. Diharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang. Malah, penyertaan daripada para pelajar haruslah sentiasa menunjukkan peningkatan. Kita bukan sahaja mendapat pahal akhirat malah kebaikan didunia juga diperolehi. InsyaAllah.