Tanggal 16 Mei merupakan hari guru di seluruh Malaysia. Namun bagiku, hari guru tidak hanya disambut pada tarikh ini sahaja, malahan, boleh disambut setiap hari seperti hari Ibu dan lain-lain. Kejayaan seseorang anak bangsa bukan sahaja terletak pada usaha serta doanya semata-mata, malah, ibu bapa dan guru merupakan antara tonggak utama yang memainkan peranan tersebut. Sekiranya ilmu yang diajar oleh guru tidak diberkati, tidak mungkin akan kita kecapi kejayaan sebagaimana hari ini.
Pada kesempatan ini, ingin aku berkongsi akan pengalaman hidupku bersama-sama insan bernama guru. Terlalu banyak pengalaman yang banyak mengajar aku dalam menghargai jasa seorang guru selain ibu dan bapaku. Ketika aku darjah 1, aku seorang pemalas. Tidak suka untuk menyiapkan kerja sekolah malah sering didenda. Aku pernah dirotan hingga 100 kali tetapi itu semua asam garam ketika di sekolah cina. Aku menjadi sangat benci akan guru darjahku iaitu Cikgu Chin Moi Jen. Pada penghujung tahun, apabila ditanya oleh guruku kelas mana yang ingin aku masuk pada tahun berikutnya, aku jawab 2M. Jawapan yang kuberikan adalah dengan niat untuk lari dari guru tersebut. Namun, takdir Allah mempertemu kami semula apabila beliau menjadi guru darjahku ketika darjah 2. Aku masih mengekalkan sikap yang lama sehinggalah sesuatu berlaku yang menyebabkan aku sedar. Apabila dimasukkan ke hospital pada pertengahan tahun 1995, guru tersebut begitu mengambil berat akan diriku. Setelah sebulan lebih aku dimasukkan ke hospital, aku dapat bersekolah semula. Apa yang mengejutkan aku adalah Pn. Chin tidak lagi menjadi guru kelasku. Sejak itu, aku mula berubah sikap. Aku menjadi begitu tersentuh akan perhatian yang diberikan walau diriku ketika itu tidak menyukainya. Lama-kelamaan, aku mula menghormati insan bernama guru. Takdir Allah mempertemu kami semula apabila Pn.Chin menjadi salah seorang guru yang mengajarku ketika di tingkatan satu. Sangat tidak kuduga dengan pertemuan itu kerana sudah lama aku mencarinya, akhirnya di SMK Taman Melati tempat pertemuannya. Aku sangat tersentuh apabila Pn.Chin masih mengingati aku bukan sahaja rupaku malah namaku juga.
Ketika di tingkatan 1 jugalah aku telah kehilangan ayah. Sejak itu, guru-guru menjadi pendokong semangatku untuk bangkit dan meneruskan hidup selain daripada ibuku. Aku banyak menghabiskan masa dengan guru-guru bukan kerana aku tidak rapat dengan ibu, tetapi bagiku, aku dapat mengutip sesuatu dari mereka yang bergelar guru. Walau ilmu itu bukan untuk kegunaan pada masa tersebut, tetapi manalah tahu akan berguna satu hari nanti.
Aku tidak malu untuk mengatakan bahawa aku berasal dari keluarga sederhana. Namun, disebabkan oleh tanggungan yang perlu ibuku tanggung ketika itu adalah seramai 5 orang dengan gaji bawah RM1,500 tambahan pula dengan tidak mendapat bantuan dari badan zakat mahupun kebajikan masyarakat. Alhamdulilah, rezekiku keluargaku murah dengan bantuan yang dihulurkan oleh guru-guruku. Sehingga sekarang, aku tidak dapat melupakan bagaimana seorang guru (namanya kurahsiakan) menolongku membayarkan yuran PMR aku pada tahun 2002. Ketika itu, ibuku tidak mempunyai sumber pendapatan yang cukup bagi membayar yuran. Apa yang menyedihkan aku adalah, aku tidak dapat membalas jasa guru itu dengan menghadiahkannya keputusan yang terbaik dalam PMR. Keputusanku tidak boleh dibanggakan sangat. Maafkan saya cikgu kerana tidak dapat membalas jasa cikgu. Tidak lama kemudian, guru itu telah berpindah sekolah.
Seterusnya adalah bagaimana seorang PK Hem (Pn.Majidah) yang boleh meluangkan masa beliau untuk mendengar segala rintihan dan masalahku apabila aku dilanda badai. Beliau bukan sahaja aku anggap sebagai guru malah sebagai ibu. Beliau banyak mengajarku untuk memahami perasaan ibuku yang bergelar ibu tunggal. Sehingga kini, beliau masih lagi mengajar di sana dan masih memegang jawatan sebagai PK Hem. Cikgu matematikku (Datin Azah) pula yang aku mula kenal sejak tingkatan 2 lagi. Beliau juga merupakan mentorku bagi program yayasan muwafaq (sekarang yayasan harapan)ketika itu. Beliaulah yang dapat menarik minatku untuk menyukai subjek matematik. Beliau banyak memberi pendorong dan kata-kata perangsang untuk aku maju dalam hidup. Walaupun beliau telah berpindah ke kementerian namun hubunganku dengannya masih kekal hingga kini.
Pn. Jamilah, seorang guru yang lawa tapi garang... hehe. Bagi aku, tanpa sokongan beliau ketika aku dilanda musibah ketika tingkatan enam, mungkin aku tidak akan berada disini sekarang. Guru-guru lain turut memainkan peranan, namun, ketika itu sokongan paling besar datang darinya. Ketika 1 sekolah kecoh akan masalahku dengan rakan sekelas, hanya dia tempat aku mengadu. Hanya ckg jamilah yang mengerti perasaanku ketika itu. Sangat lama untuk aku menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekelas dimana aku dipulau hampir setengah tahun hanya kerana pembawakan mulut oleh kawanku yang tidak berpuas hati denganku. Sebab yang bagiku sangat kecil dan kebudak-budakan. Namun, itulah hakikat yang terpaksa aku tempuhi. Pernah satu ketika aku tidak mempunyai kekuatan untuk menjejakkan kaki ke kelas, ckg jamilah meminta aku hanya duduk di bilik guru dan mengulang kaji disana. Setiap kali selepas sekolah, beliau akan meluangkan masa untuk mengajarku subjek yang aku tertinggal di dalam kelas. Malah, belaiu turut membawa aku menemaninya membeli barang andai pada hari tersebut aku berada dalam keadaan tertekan. Saat itu, aku berjanji pada diriku untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM bagi membalas jasa bukan sahaja jasa ibuku malah guru-guru yang selama ini banyak mendokong dan ingin melihat kejayaanku untuk memasuki universiti.
Paada tahun 2007, aku telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Ketika aku dalam perjalanan ke tempat mengambil keputusan, cikgu-cikgu mengucapkan tahniah kepadaku. Aku menjadi terpinga-pinga dan aku mengambil tindakan untuk tidak percaya selagi belum dilihat dengan mata sendiri. Alhamdulilah, rezeki berpihak kepadaku. Apa yang menyedihkan aku adalah kegembiraan itu aku tidak dapat berkongsi dgn ckg jamilah secara berdepan kerana beliau telah berpindah ke Sabah. Hanya pemberitahuan melalui talian telefon sahaja. Aku dapat melihat ibuku menangis saat aku diumumkan sebagai pelajar terbaik akademik keseluruhan. Seperti yang aku pernah janjikan kpd guru-guru tingkatan enam bahawa aku pasti menyambung pengajian dalam jurusan ekonomi, aku dapat kotakannya. Kini, aku telah hampir menamatkan pengajianku dalam bidang ekonomi di UKM. Semua ini adalah berkat doa daripada ibu serta guru-guruku.
Mungkin bagi sesetengah orang apa yang coretkan disini adalah perkara biasa, namun tidak bagiku. Segala keperitan serta liku-liku yang terpaksa aku tempuhi adalah dengan semangat yang diperoleh dari insan bernama ibu dan guru. Apa yang aku coretkan disini hanyalah sebilangan dari cerita hidupku dengan guru-guru. Terlalu banyak untuk diungkapkan, namun, pengorbanan yang mereka taburkan tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata. Hanya iringan doa yang mampu kutitipkan buatmu guru-guruku. Terima kasih atas sega ilmu yang kaucurahkan dan tunjuk ajarmu kepadaku. Selamat Hari Guru. I LOVE YOU ALL.
Tuesday, May 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment